Thursday, April 28, 2011

Kehakiman: Prima facie dalam perbicaraan kes jenayah

Perbicaraan kes jenayah di Malaysia:
Nota:
Pusingan pertama:
Pihak pendakwa cuba membuktikan sehingga tiada keraguan yang munasabah bahawa yang dituduh bersalah di depan hakim.
Pihak pendakwa akan memanggil saksi termasuk pegawai Polis dan Pakar dalam bidang berkaitan untuk memberi keterangan.
Pihak peguan bela akan cuba menimbulkan keraguan dalam kes.
Selepas itu, hakim akan mengumumkan sama ada wujud prima facie(bukti yang munasabah). Jika tidak wujud prima facie, yang dituduh dilepaskan. Jika ada, yang dituduh akan diperintahkan membela diri.
Pusingan kedua:
Yang dituduh boleh membela diri dengan 3 cara:
1. Berdiam diri
2. Membela diri dalam kandang pesalah.(Pendakwa tidak boleh menyoal balas)
3. Membela dengan bersumpah.
Selepas itu hakim akan membuat keputusan kehakimannya. Jika tiada bersalah, yang dituduh dilepaskan. Jika salah, hukuman akan dijatuhkan mengikut undang-undang.
Contoh kes:

27-04-2011 Keputusan panggil Anwar bela diri kes liwat 16 Mei 2011

Mahkamah Tinggi KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, akan diketahui pada 16 Mei 2011.
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden mewakili pihak pendakwaan dan peguam Anwar, Karpal Singh, Ram Karpal serta S N Nair di akhir kes pendakwaan.
Beliau turut memerintahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan bertulis masing-masing dalam masa 2 hari.

Terdahulu, Mohd Yusof berhujah peguam tertuduh sering memotong keterangan lisan saksi pakar pendakwaan yang didakwa berat sebelah dan tidak memberikan jawapan memuaskan ketika ditanya berhubung analisis DNA.

Katanya, saksi pakar berkenaan bukan saja berkelayakan, malah mereka menghuraikan proses mengambil sampel dan analisis DNA dilakukan, memberikan pendapat serta alasan keputusan akhir diperoleh. Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah melihat kepada keseluruhan bukti dan keterangan yang dikemukakan oleh saksi pakar berkenaan sebelum membuat keputusan, katanya ketika mengemukakan hujah di akhir kes pendakwaan.
Selain itu, katanya, bukti yang mengesahkan air mani yang ditemui dalam dubur Mohd Saiful adalah milik Anwar, tidak ditolak mahkamah dalam perbicaraan kes liwat itu.

Berhubung persoalan doktor pertama ditemui Mohd Saiful selepas kejadian liwat iaitu Dr Muhammad Osman Abdul Hamid daripada Hospital Pusrawai Kuala Lumpur tidak dipanggil memberikan keterangan, Mohd Yusof berkata doktor itu tidak menjalankan pemeriksaan forensik ke atas pengadu.

Malah katanya, ketika pengadu memberitahu beliau diliwat, Dr Muhammad Osman terus memberhentikan pemeriksaan dan menyuruhnya menjalani pemeriksaan di hospital kerajaan.

Sementara itu, Karpal berhujah bukti dan keterangan saksi pakar di mahkamah tidak membuktikan bahawa ‘Lelaki Y’ yang air mani ditemui dalam dubur Mohd Saiful adalah Anwar.

Beliau berkata, keterangan Saintis Forensik, Dr Seah Lay Hong berhubung profil DNA ‘Lelaki Y’ tidak boleh dipercayai kerana bersifat menyokong semata-mata, malah pihaknya berjaya menimbulkan keraguan dalam penemuan pakar itu.

Nair berkata, proses analisis DNA dilakukan Dr Lay Hong tidak disokong oleh nota atau dokumen bagaimana ia dijalankan.

“Dalam hal ini pihak pendakwaan sepatutnya mengemukakan semua dokumen dan nota berkenaan walaupun ia tidak diminta oleh pihak kami… tanpa bukti dokumen yang kukuh pihak pendakwaan kemudian mengesahkan ia milik tertuduh,” katanya.

--------------

Sumber http://goaypastpm.wordpress.com/2011/04/28/kehakiman-prima-facie-dalam-perbicaraan-kes-jenayah/

3 comments:

Terima kasih atas usaha anda...