Sunday, April 24, 2011

JENIS-JENIS KERAJAAN DI DUNIA

DEFINISI KERAJAAN

Kerajaan ialah suatu badan atau organisasi yang sah dalam suatu kawasan tertentu yang mempunyai bidang kuasa tunggal yang sah bagi penguatkuasaan.

JENIS-JENIS KERAJAAN

A. MONARKI

Pemerintahan beraja atau Monarki (dari bahasa Yunani "monos archein", bermaksud "satu pemerintah") merupakan sejenis kerajaan di mana Raja menjadi ketua negara. Monarki atau sistem pemerintahan beraja adalah sistem tertua di dunia. Pada awal kurun ke-19, terdapat lebih 900 buah takhta kerajaan di dunia, tetapi menurun kepada 240 buah dalam abad ke-20. Manakala pada dekad kelapan abad ke-20, hanya 40 takhta sahaja yang masih kekal. Daripada jumlah tersebut, hanya empat negara mempunyai raja atau monarki yang mutlak dan selebihnya terhad kepada sistem perlembagaan.

Perbezaan diantara Raja dengan Presiden sebagai Ketua Negara adalah Raja menjadi Ketua Negara sepanjang hayatnya, manakala Presiden biasanya memegang jawatan ini buat jangkamasa yang tertentu. Namun dalam negara-negara persekutuan seperti Malaysia, Raja atau Agong hanya berkuasa selama 5 tahun dan akan digantikan dengan raja dari negeri lain dalam persekutuan. Dalam zaman sekarang, konsep monarki mutlak hampir tidak wujud lagi dan kebanyakannya adalah raja berperlembagaan, iaitu raja yang terhad kuasanya oleh perlembagaan. Monarki juga merujuk kepada orang atau institusi yang berkaitan dengan Raja atau kerajaan di mana raja berfungsi sebagai ketua eksekutif.

Monarki demokratik atau dalam bahasa Inggeris Elective Monarchy, adalah berbeza dengan konsep raja yang sebenarnya. Pada kebiasaannya raja itu akan mewarisi takhtanya (hereditary monarchies). Tetapi dalam sistem monarki demokratik, takhta raja akan bergilir-gilir di kalangan beberapa sultan. Malaysia misalnya, mengamalkan kedua-dua sistem iaitu raja berpelembagaan serta monarki demokratik.

Bagi kebanyakan negara, Raja merupakan simbol kesinambungan serta kedaulatan negara tersebut. Selain itu, raja biasanya ketua agama serta Panglima Besar angkatan tentera sesebuah negara. Contohnya di Malaysia, Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua agama Islam, manakala di United Kingdom dan negara di bawah naungannya, Ratu Elizabeth II adalah ketua agama Kristian Protestan.

Selain Raja, terdapat beberapa jenis pemerintah yang mempunyai bidang kuasa yang lebih luas seperti Maharaja dan Kalifah

B. DEMOKRASI

Demokrasi ialah suatu bentuk kerajaan dimana kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan adalah ditentukan oleh rakyat. Dalam sistem demokrasi, undang-undang digubal samada oleh rakyat atau wakil yang dipilih oleh rakyat. Sebuah negara atau kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi adalah dipanggil negara atau kerajaaan yang demokratik.

Perkataan ini berasal dari Yunani δημοκρατíα dari δημος bermaksud "rakyat", ditambah pula dengan κρατειν bermaksud "memerintah", dengan kata hubung íα; yang memberi maksud "Diperintah oleh Rakyat". Terma ini kadangkala digunakan untuk mengukur sejauh mana pengaruh rakyat diatas kerajaannya. Demokrasi secara ekstrim boleh dilihat dalam sistem kerajaan seperti anarkisme dan komunisme (menurut teori Karl Marx ia merupakan peringkat terakhir pembangunan sosial dimana demokrasi adalah diamalkan secara langsung , dan tiada kerajaan yang bebas dari kehendak rakyat).

Demokrasi moden mempunyai sifat-sifat dengan institusi-institusi berikut:
Perlembagaan yang menghadkan kuasa dan kawalan operasi formal kerajaan, samada secara tulisan, secara norma atau gabungan kedua-duanya. Lazimnya Perlembagaan akan memasuki dotrin pembahagian kuasa untuk memastikan seseorang itu tidak diberi lebih dari satu kuasa.
Pilihan raya untuk memilih pegawai-pegawai awam, yang dikelolakan secara bebas dan adil
Rakyat diberi hak mengundi
Kebebasan bersuara (berceramah, berhimpun dan sebagainya)
Kebebasan akhbar dan akses kepada media lain
Kebebasan persatuan

Semua orang dalam masyarakat menikmati hak yang sama dari segi undang-undang. Salahsatu pra-syarat demokrasi ialah wujudnya Aturan Undang-Undang Rule of Law
Rakyat yang berpendidikan dan berpengetahuan tentang hak asasi manusia dan tanggungjawab sivik

C. DEMOKRASI BERPARLIMEN

Dalam sisitem berparalimen, badan perundangan yang tertinggi kuasanya ialah parlimen. Negara-negara yang mengamalkan sistem ini ialah Britain, Jepun, Malaysia, dan India. Parlimen terdiri daripada ahli-ahli yang dipilih dalam pilihanraya umum, yang selalunya diadakan sekurang-kurangnya lima tahun sekali. Parlimen (legislature) ialah badan yang mewakili rakyat untuk membuat undang-undang negara. Tugasnya ialah menggubal undang-undang dan dasar-dasar melalui kuasa yang diberi kepadanya oleh undi rakyat.

Sistem demokrasi berparlimen terbahagi kepada dua, iaitu dua dewan. Pertama, dewan yang yang dipilih oleh orang ramai melalui pilihanraya umum dan yang kedua, dewan yang ahli-ahlinya dilantik oleh ketua negara: atau institusi-institusi tertentu yang ditugaskan oleh perlembagaan untuk berbuat sedemikian. Britain, India dan Malaysia adalah contoh negara yang mempunyai sistem seperti ini. Singapura, Denmark dan Sweden mempunyai hanya satu dewan yang ahli-ahlinya dipilih secara langsung oleh pengundi.

Parti atau gabungan parti-parti yang mempunyai majority kerusi dalam parlimen akan membentuk kerajaan. Kerajaan ini yang akan mengemukakan dasar-dasar dan rang undang-undang untuk perbahasan dan dan keputusan. Ahli-ahli parlimen biasa, termasuk pembangkakng, boleh juga membentangkan rang undang-undang tetapi lazimnya ini dilakukan oleh parti yang memerintah. Rang undang-undang ini diteliti oleh parlimen. Setiap rang undang-undang melalui tiga tahap – bacaan pertama, di mana rang undang-undang tersebut diedarkan kepada ahli-ahli parlimen; bacan kedua, di mana perbahsan umum diadakan; dan bacaan ketiga, di mana rang undang-undang itu dikaji fasal demi fasal. Selepas diluluskan oleh dewan rakyat, rang undang-undang tersebut akan dikemukakan di dewan kedua pula, (dipanggil senat, dewan negara dan sebagainya) iaitu bagi parlimen yang mempunyai dua dewan. Di senat perbincangan juga diadakan di tiga peringkat bacaan. Selepas diluluskan oleh senat rang undang-undang itu dikemukakan kepada ketua negara-raja atau presiden untuk ditandatangani. Selepas ditandatangani dan digazetkan ia dianggap sebagai rang undang-undang.

Oleh kerana kabinet yang mengemukakan rang undang-undang dan dasar-dasar, sama ada dalam bidang pendidikan, pertahanan atau pembangunan ekonomi, maka kabinetlah yang sebenarnya merupakan penggubal undang-undang. Ahli-ahli kabinet memainkan peranan utama dalam perdebatan dan perbincangan tentang sesuatau dasar itu. Tetapi menteri-menteri kabinet bukan sahaja berperanan dalam proses perundangan, mereka juga mengetuai kementerian-kementerian yang melaksanakan dasar-dasar yang diluluskan oleh parlimen. Sebagai contoh, menteri pengangkutan bukan sahaja bertanggungjawab menggubal dasar-dasar pengangkutan, beliau juga yang menyelia dasar-dasar itu dilaksanakan oleh pegawai-pegawai kerajaan (atau birokrasi). Menteri-menteri dan birokrasi (pentadbiran) kedua-duanya bertanggungjawab melaksana. Badan perlaksanaan ini dipanggil eksekutif dan pentadbiran awam.

Legislature (perundangan) dan ekskutif adalah dua cabang terpenting dalam sistem pemerintahan demokrasi berparlimen. Walaupun dua badan ini berbeza daripada segi fungsi dan kedudukan undang-undang, daripada segi lain pula mereka mempunyai hubungan sangat rapat. Menteri-menteri kabinet memainkan peranan utama dalam kedua-dua badan ini. Itulah sebabnya apa yang berlaku dalam sistem demokrasi berparlimen ini selalu digelar sebagai satu “fusion of power” ataupun satu “percantuman kuasa” Justeru itu juga ada ahli teori yang mengatakan bahawa sistem demokrasi berparlimen adalah bertentangan dengan semanagat konsep pengasingan kuasa dalam teori demokrasi liberal.

Demokrasi berparlimen juga mempunyai institusi yang bertanggungjawab memastikan bahawa undang-undang dijalankan dengan adil. Ini ialah badan kehakiman (judiciary). Satu perbezaan yang menarik tentang badan ini di antara demokrasi berparlimen dan demokrasi berpresiden ialah kehakiman dalam sistem yang pertama itu kurang kuasanya jika dibandingkan sistem berpresiden. Badan kehakiman di negara-negara demokrasi berpresiden seperti Amerika Syarikat lebih bebas dan berkuasa jika dibandingkan di negara-negara demokrasi berpresiden seperti England, Jerman Barat dan Kanada. Mengikut teori demokrasi, badan kehakiman adalah bebas daripada kawalan politik. Hakim-hakim dilantik oleh ketua negara dan bukannya oleh kabinet walaupun perlantikan oleh ketua negara itu adalah di atas nasihat perdana menteri, iaitu ketua parti memerintah dan seorang ahli politik. Hakim-hakim tidak boleh disingkirkan oleh kabinet atau parti yang memerintah. Jawatan hakim dibezakan daripada jawatan-jawatan kerajaan yang lain. Gaji, kenaikan pangkat dan syarat-syarat perkhidmatan mereka adalah di bawah jagaan satau Suruhanjaya Kehakiman yang tersendiri.

Kebebasan kehakiman adalah salah satu daripada kekuatan sistem demokrasi. Kebebasan ini memastikan bahawa keadilan dapat dilaksanakan dengan berkecuali dan hakim-hakim dapat menjalankan tugas mereka tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Hakim-hakim bebas untuk mentafsirkan undang-undang yang diluluskan oleh parlimen mengikut fahaman mereka tentang keadilan pelaksanaanya. Kebebasan kehakiman ini merupakan ukuran terpenting dalam menentukan sifat demokratik sesuatu sistem politik itu.

D. SOSIALIS

Sosialisme merupakan teori atau sistem organisasi sosial dan ekonomi di mana salah satu ciri utamanya adalah sumber kekayaan negara dinikmati bersama oleh seluruh rakyat secara sama rata.

Beberapa orang berpendapat Robert Owen yang berasal dari Wales, merupakan seorang sosialis yang pertama. Beliau dianggap sebagai pengasas gerakan koperasi di Britain. Beliau berkata pekerjalah yang sepatutnya menjadi tuan untuk syarikat yang mereka bekerja. Pekerja kemudiannya berkongsi keuntungan sesama mereka.
Kebanyakan parti sosialis ditubuhkan semasa kurun ke-19 dan awal kurun ke-20. Antara sosialis terkenal adalah Karl Marx yang menulis buku The Communist Manifesto. Sosialis terkenal lain adalah Vladimir Lenin, James Connolly, Rosa Luxemburg, Fidel Castro, Muammar al-Gaddafi, Albert Einstein, Robert Mugabe, Ho Chi Minh dan John Lennon.

Sekali imbas, perkataan "sosialisme" dan "komunisme" seolah-olah satu perkara yang sama. Tetapi pada hari ini dua perkataan ini bermaksud perkara yang berbeza. Kebanyakan orang yang bukan komunis merujuk komunisme sebagai Marxisme dan Leninisme iaitu idea-idea yang berasal dari Parti Bolshevik di Rusia.

Selepas Perang Dunia Pertama dan Revolusi Rusia, sosialisme terbahagi kepada dua. Sesetengah golongan sosialis mengikut Lenin dan dipanggil komunis. Sesetengah yang lain pula percaya kepada sistem parlimen dan mereka ini dipanggil sosial demokrat. Sosial demokrat sangat tidak bersetuju dengan komunis tetapi antara ciri mereka ini adalah menyokong konsep negara kebajikan.

E. KOMUNIS

Komunisme adalah ideologi politik dan struktur sosio ekonomi yang menggalakkan penubuhan masyarakat yang egalitarian, tanpa kelas, dan tanpa negara berdasarkan pemilikan dan kawalan sama ke atas faktor pengeluaran dan harta secara umumnya. Karl Marx menganjurkan komunisme sebagai peringkat akhir dalam masyarakat manusia, yang boleh dicapai melalui revolusi golongan proletariat. "Komunisme suci" menurut Marx merujuk kepada masyarakat tanpa kelas, tanpa negara dan bebas penindasan di mana keputusan tentang pengeluaran dan dasar yang dibuat secara demokratik bermakna membenarkan setiap ahli masyarakat mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan dari segi ekonomi, politik dan sosial.

Sebagai ideologi politik, komunisme dianggap sebagai satu cabang sosialisme; satu falsafah luas berkenaan ekonomi dan politik yang dipengaruhi oleh pelbagai gerakan politik dan intelektual dengan asalnya dari hasil kerja mereka pada Revolusi Perindustrian dan Revolusi Perancis. Komunisme cuba untuk memberi satu alternatif kepada masalah dalam ekonomi pasaran kapitalisme dan warisan penjajahan dan nasionalisme. Marx menyatakan hanya satu jalan untuk menyelesaikan masalah-masalah ini adalah bagi golongan pekerja (proletariat), yang menurut Marx adalah pengeluar utama kekayaan dalam masyarakat yang diekploitasi oleh kelas kapitalis (borjuis), menolak golongan borjuis ini daripada kelas pemerintah bagi menubuhkan masyarakat bebas tanpa pembahagian kelas dan kaum.

Selain Karl Marx, tokoh penting lain adalah Friedrich Engels. Fahaman dominan komunisme seperti Leninisme, Stalinisme, Moisme dan Trotskyisme]] adalah berakar dari Marxisme. Akan tetapi wujud juga fahaman bukan Marxisme dalam komunisme seperti komunisme Kristian. Dalam gunaan zaman moden, komunisme selalu merujuk kepada Bolshevisme atau Marxisme-Leninisme.

Era kegemilangan komunisme ialah antara akhir Perang Dunia II dan tahun 90-an apabila komunisme berkuasa di Kesatuan Soviet. Komunisme juga mempunyai pandangan agama adalah racun yang boleh mengongkong pemikiran rakyat.

Ideologi komunisme mula diterapkan ketika meletusnya Revolusi Bolshevik di Rusia pada 7 November 1917. Sejak itu komunisme disebarkan sebagai sebuah ideologi ke negara lain.
Secara rasminya ada 9 buah negara yang pernah ditubuhkan berpegang dengan fahaman komunis:

Kesatuan Soviet (Kesatuan Republik Sosialis Soviet)
China (Republik Rakyat China)
Cuba (Republik Cuba)
Laos (Republik Demokratik Rakyat Lao)
Vietnam (Republik Sosialis Vietnam)
Korea Utara (Republik Demokratik Rakyat Korea)
Yaman Selatan (Republik Demokratik Rakyat Yaman )
Myanmar/Burma (Republik Sosialis Kesatuan Burma)
Kemboja/Kampuchea (Demokratik Kampuchea)
Walau bagaimanapun hanya 5 buah negara yang kekal memerintah di bawah komunis iaitu:
China
Laos
Vietnam
Cuba
Korea Utara

Sungguh pun begitu fahaman komunis yang diperjuangkan dahulu sudah mula luntur dimamah usia selepas pencetusannya. Hal ini dapat dilihat di Negara China sendiri, polisi pemerintah China terhadap pelabur (kapitalis) yang dianggap musuh rakyat telah berubah semenjak 90-an lagi. Hal ini dapat dilihat dengan kebanjiran kilang-kilang di dalam negara China sendiri.
Walaupun ramai yang menganggap ideologi komunisme sudah lemah berikutan jatuhnya Kesatuan Republik Soviet pada tahun 1991, namun ideologi itu tetap wujud dalam bentuk sosialisme. Masih terdapat Parti Komunis di negara-negara lain seperti di barat yang memperjuangkan hak pekerja, pelajar dan bersikap anti-penjajah.

F. TOTALITARIANISME

Totalitarianisme merupakan fahaman bahawa sistem pemerintahan yang paling ekstrim adalah dengan membenarkan kewujudan satu parti politik sahaja untuk memerintah negara secara total. Sistem ini adalah lebih ketara dari sistem diktator atau negara polis police state dan ia melibatkan propaganda yang berpanjangan untuk memastikan rakyatnya secara relahati akan patuh dengan kerajaan. Kadangkala kerajaan akan mengambil langkah drastik seperti membunuh para intelek supaya tiada rakyat yang menentang kerajaan yang total ini.

Pada asalnya perkataan ini telah digunakan oleh Benito Mussolini bagi rejimnya di Itali. Sewaktu Perang Dunia II, Hannah Arendt seorang ahli falsafah telah mempopularkan konsep ini untuk menunjukkan persamaan diantara Nazisme dan Stalinisme sebagai teori-teori sivik. Kebanyakan rejim-rejim fasis dan komunis telah dianggap sebagai totalitarian walaupun sebahagian besar darinya seperti rejim Franco di Sepanyol, dan Mussolini Itali sebelum Perang Dunia II, dan juga rejim komunis seperti di Yugoslavia dibawah pimpinan Tito dan China dibawah Deng Xiaoping, adalah lebih bersifat autoritarian berbanding totalitarian.

Namun terdapat beberapa kerajaan yang lalu yang boleh dianggap sebagai totalitarian. Kerajaan Joseph Stalin di Kesatuan Soviet dan kerajaan Jerman dibawah pimpinan Adolf Hitler adalah beberapa contoh kerajaan yang totalitarian. Kedua-dua kerajaan ini telah bertahan lama dan rakyatnya seolah-olah terperangkap dengan ideologi kerajaannya masing-masing. Khmer Rouge dibawah kerajaan Pol Pot yang zalim menunjukkan betapa bahayanya sistem ini kepada masyarakat dimana lebih kurang dua juta rakyat Kemboja telah dijadikan mangsa penindasan rejim tersebut.

Terdapat hujah yang menyatakan totalitarianisme memerlukan seorang tokoh hebat "pemimpin agung" yang disanjungi sebagai ketua sesuatu regim. Kebanyakan masyarakat totalitarian mempunyai pemimpin seperti model ini - misalnya, Hitler, Stalin, Mao Ze Tung, Mussolini, Pol Pot, dan Kim Il-Sung. Oleh yang demikian ramai cendikiawan tidak menganggap era-Brezhnev Soviet dan kebanyakan negara Perjanjian Warsaw sebagai totalitarian. Namun apabila kerajaan-kerajaan ini tumbang, sebahagian besar penduduknya dan para intelek dinegara tersebut mengatakan pengalaman mereka ketika itu adalah sememangnya totalitarianisme. Oleh itu, pemimpin yang berkarisma tidak semestinya perlu di dalam sistem totalitarianisme

Sumber: Wikipedia

8 comments:

  1. assalamualaikum cikgu. saya ada ambil bahan daripada blog cikgu ni. mohon dihalalkan :)

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum cikgu. Saya nak tanya sikit. Dari cara cikgu bentangkan ini bahawa negara republik mengamalkan ideologi komunisme. Tapi bagaimana pula dengan republik perancis? Republik perancis mempunya 2 dewan dan parlimen. Tidakkah sama dengan demokrasi berparlimen? Jadi bagaimana nama perancis dikenali sebagai republik perancis sedangkan pentadbiran negara meraka sama dengan demokrasi berparlimen?

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum cikgu. Saya nak tanya sikit. Dari cara cikgu bentangkan ini bahawa negara republik mengamalkan ideologi komunisme. Tapi bagaimana pula dengan republik perancis? Republik perancis mempunya 2 dewan dan parlimen. Tidakkah sama dengan demokrasi berparlimen? Jadi bagaimana nama perancis dikenali sebagai republik perancis sedangkan pentadbiran negara meraka sama dengan demokrasi berparlimen?

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum cikgu. Saya ingin bertanya. Adakah republik itu komunism? Apekah pemberian diantara 3 jenis/bentuk pemerintahan republik? Sekian terima kasih.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum cikgu.. boleh cikgu jelaskan maksud Badan Kerajaan secara ringkas?

    ReplyDelete
  6. Kenapa cikgu tak jawab soalan kami

    ReplyDelete
  7. boleh tak terangkan bukan totalitarian

    ReplyDelete

Terima kasih atas usaha anda...